Khamis, 1 Mei 2014

GANGGUAN HIPERAKTIF ATAU MASALAH KURANG TUMPUAN HIPERAKTIVITI

Pendidikan Khas boleh didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kerencatan atau kurang upaya. Pendidikan khas juga merangkumi aspek-aspek pengajaran dan pembelajaran, latihan jasmani, dan juga pendidikan berteraskan rumah, hospital dan institusi. Kurikulum untuk pendidikan khas ini juga sebahagian daripada kurikulum biasa yang telah diubahsuai dengan tujuan memenuhi keperluan-keperluan khas bagi murid-murid yang mengalami pelbagai jenis kerencatan atau kurang upaya termasuklah kanak –kanak yang mengalami gangguan hiperaktif atau masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (Attention Deficit Hyperactivity Disorder/ADHD).

Menurut Jamilah (2005), hiperaktif adalah istilah yang digunakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif dan menganggu. Kebiasaannya kanak-kanak hiperaktif mempunyai masalah kekurangan tumpuan atau tumpuan yang singkat. Istilah yang lebih saintifik bagi hiperaktif ialah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). Persatuan Psikologi Amerika (APA) telah mendefinisikan ADHD sebagai kecelaruan psikologi dengan petanda-petandanya dapat dikesan sebelum umur tujuh tahun. ADHD merupakan satu corak tidak memberi tumpuan, impulsif, dan/ atau hiperaktif impulsif yang lebih kerap dan teruk berbanding kebiasaan yang dilihat pada kanak-kanak.

Sandra (2008) pula menjelaskan terdapat dua jenis masalah kanak-kanak kurang tumpuan iaitu Attention Deficit Disorder (ADD) atau masalah kurang tumpuan tanpa hiperaktif dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD atau masalah kurang tumpuan dengan hiperaktif. Menurut Sandra, masalah ADD atau ADHD adalah bersifat fisiologi dan biologi. Bagi Sheila dan Samsilah (2006), ADHD adalah satu keadaan dimana kanak-kanak mengalaminya mempunyai masalah tingkah laku yang terlampau aktif dan impulsif. Gangguan ADHD merupakan kecelaruan kronik yang boleh bermula dari peringkat kanak-kanak dan berterusan hingga dewasa, serta meninggalkan kesan negatif ke atas kehidupan kanak-kanak di sekolah, di rumah atau dalam masyarakat. Di anggarkan sekitar 3% hingga 5% kanak-kanak yang bersekolah menghadapi masalah ADHD (APA 2002). Kanak-kanak lelaki adalah 3 kali ganda lebih ramai daripada kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak yang menghadapi ADHD adalah termasuk di dalam kategori kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Menurut Azizi Yahaya et al. (2006), ADHD merujuk kepada suatu kecelaruan perkembangan yang berlaku ketika zaman kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri seperti kurang tumpuan, keadaan hiperaktif-impulsiviti yang lebih kerap dan teruk berbanding dengan keadaan yang biasa diperhatikan pada individu di peringkat perkembangan yang
normal. Ramai ibu bapa yang mendapati sukar untuk menguruskan kanak-kanak ADHD ini kerana tingkah laku mereka yang tersangat aktif dan sukar diramal. Guru pula terpaksa memberi perhatian yang lebih kerana mereka tidak boleh duduk diam dan tidak memberi tumpuan sehingga menyebabkan pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas terganggu.

Kanak-kanak ADHD mempunyai sikap seperti kurang daya perhatian, cepat terpengaruh, membisu, terlalu agresif dan mempamerkan pelbagai watak. Mereka sukar untuk mengawal tingkah laku mereka menyebabkan mereka menjadi kurang tumpuan, impulsif dan hiperaktif. Kanak-kanak ADHD juga mengalami satu gangguan yang menjejaskan keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokuskan terhadap sesuatu perkara. Contohnya ada kanak-kanak yang dilihat normal, cerdas dan bijak tetapi tidak dapat menumpukan perhatian dan mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Ciri-ciri bagi kanak-kanak ADHD boleh dilihat berdasarkan kategori, kanak- kanak itu sendiri, intelektual, tingkah laku dan perkembangan sosial mereka.

a) Kurang tumpuan

Kanak-kanak ADHD kerap gagal memberi tumpuan dalam sesuatu perkara. Mereka selalu lalai dan cuai serta kerap melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kerja sekolah dan aktiviti-aktiviti lain. Mereka juga gagal untuk mengekalkan tumpuan dan perhatian dalam tugasan atau bermain, terutama sekali yang melibatkan visual dan pemikiran. Ada juga di kalangan mereka selalu tidak mendengar perkara yang diperkatakan kepadanya. Sekiranya arahan yang banyak diberikan dalam satu masa, mereka tidak mampu untuk mengingati kesemuanya. Kanak-kanak ini juga tidak dapat mengikuti pengajaran guru dan gagal menyiapkan kerja sekolah atau kerja rumah yang diberikan. Mereka juga selalu menghadapi masalah dalam pengurusan dan pengelolaan aktiviti, tugasan atau kerja dengan sendiri. Mereka tidak dapat melakukan sesuatu kerja seorang diri. Di dalam kelas pula, guru perlu sentiasa mengawasi mereka agar tidak membuat
kerja separuh jalan.

Kanak-kanak ini selalu mengelak, berasa benci atau enggan memberi komitmen terhadap kerja yang memerlukan tumpuan yang lama serta memerlukan tumpuan yang lama serta memerlukan keupayaan daripada segi mental seperti kerja sekolah. Mereka ini biasanya dilabelkan sebagai seorang yang pemalas. Kanak-kanak ini juga selalu kehilangan benda yang berkaitan dengan kerja. Hal ini boleh dikaitkan dengan sifat mudah lupa atau tidak dapat mengingati sesuatu perkara yang telah dilakukan. Kadang kala mereka mudah kehilangan buku atau tugasan sekolah, pen, pensel, pembaris dan sebagainya kerana tidak dapat mengingati tempat ia telah diletakkan. Mereka juga mudah terpengaruh dengan sesuatu benda dan tidak dapat memberi perhatian yang lama terhadap sesuatu perkara ataupun tumpuan mereka mudah bertukar daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang lain.

b) Hiperaktif

Jika diperhatikan, kanak-kanak kategori hiperaktif ini kerap menggerakkan tangan dan kaki atau menggeliat di tempat duduk. Mereka selalu meninggalkan tempat duduk di
dalam kelas, kurang perhatian dan tumpuan lebih diberikan terhadap sesuatu perkara lain yang lebih diminati. Mereka juga sering berlari atau memanjat dalam situasi yang tidak sesuai. Kanak-kanak kategori ini juga kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap. Mereka ini bercakap tanpa henti atau gagal mengawal pertuturan mereka. Kanak-kanak ini tidak duduk diam iaitu mereka sentiasa dalam keadaan bergerak cergas atau kerap bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan atau kerap dilihat seperti digerakkan oleh motor.

c) Impulsif

Ciri-ciri kanak-kanak kategori ini pula ialah mereka selalu memberi jawapan terlebih dahulu sebelum soalan lengkap diajukan sepenuhnya. Mereka berasa tidak sabar atau menghadapi masalah untuk menanti giliran mereka. Kanak-kanak ini juga sering mencelah perbualan, menganggu aktiviti atau suka mengusik rakan yang lain. Mereka ini biasanya cuba menguasai suasana persekitaran dengan berlagak seperti ketua. Kanak-kanak impulsif sering membuat pertimbangan yang salah dimana mereka tidak dapat membezakan sama ada sesuatu perkara yang dilakukan betul atau salah dan ia biasanya dikaitkan dengan tindakan yang diambil tanpa berfikir terlebih dahulu. Mereka juga cenderung untuk mengalami kemalangan.

d) Gabungan

Kanak-kanak kategori gabungan adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam ketiga-tiga kategori iaitu kurang tumpuan, hiperaktif dan impulsif. Tingkah laku mereka lebih sukar untuk dikawal. Mereka tidak memberi tumpuan, gagal menyiapkan tugasan, tidak mengikut arahan dan sukar untuk memberi tumpuan terhadap sesuatu aktiviti. Ciri-ciri masalah impulsif pula menyebabkan mereka ini bertidak tanpa berfikir, bertukar-tukar aktiviti, sukar menunggu giliran dan sukar mengendalikan sesuatu aktiviti. Ciri-ciri masalah hiperaktif pula menyebabkan mereka ini suka berlari, memanjat, tidak boleh duduk diam, bergerak secara berlebihan semasa tidur, mudah mengamuk dan sukar menyesuaikan diri dengan orang lain atau rakan sebaya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan