Rabu, 23 April 2014

Cabaran Guru Matematik Untuk Melahirkan Pelajar Yang Berfikiran Kritis Dan Kreatif

1.0 Pengenalan

Tujuan utama pendidikan adalah untuk mengajar kanak-kanak untuk berfikir dengan lebih berkesan, rasional dan membina pemikiran yang logik. Dengan membina kemahiran berfikir, pelajar - pelajar akan berfikir dengan lebih kritikal, kreatif, kritis dan boleh menyelesaikan masalah dengan efisyen. Kemahiran berfikir merangkumi pemikiran kreatif, kritis dan Higher Order Thinking Skills’ (HOTS) atau pemikiran Tahap Tinggi seperti analisis, sintesis dan penilaian. Benjamin Bloom (1984) telah mengkategorikan kemahiran berfikir dalam peringkat –peringkat seperti pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Dengan menggunakan Taksonomi Bloom, guru-guru dan pelajar - pelajar dicabar menggunakan pemikiran tahap tinggi dan bukan pemikiran tahap mudah seperti mengingat kembali, pemahaman dan aplikasi.

Kemahiran berfikir kritis ialah kebolehan untuk menilai kemunasabahan sesuatu idea dan bersifat evaluatif. Kemahiran berfikir kreatif pula ialah kebolehan untuk mencerna dan menghasilkan idea asli dan bersifat generatif. Idea baru terhasil melalui ilham atau gabungan idea-idea yang ada. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang diajar atau diterapkan di dalam pembelajaran pelajar - pelajar akan meningkatkan penguasaan dan pencapaian akademik mereka.

Kajian berkaitan juga menunjukkan pengajaran kemahiran berfikir mempercepatkan pembelajaran pelajar - pelajar ( Cotton, 1991). Kemahiran berfikir ini perlu diberikan penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik kerana mereka yang didedahkan dengan pemikiran berfikir secara kritis dan kreatif ini lebih bersedia menghadapi masalah yang lebih kompleks serta perubahan teknologi yang berlaku secara mendadak pada masa ini. Namun begitu, bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif ini telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan dan menjadi cabaran kepada para guru Matematik pada masa kini.

2.0 Cabaran yang dihadapi oleh guru.

2.1 Peruntukan Masa Yang Tidak Mencukupi.

Matlamat Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi mata pelajaran Matematik adalah untuk membina pemahaman pelajar tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan, memahami idea matematik yang mudah dan berketrampilan, mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Oleh itu, guru berpendapat bahawa pelajar perlu menguasai semua fakta dan konsep matematik terlebih dahulu sebelum mereka mengaplikasikannya dalam soalan penyelesaian masalah yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.

Semasa Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), masa bagi matapelajaran Matematik adalah 7 waktu yang bersamaan dengan 210 minit. Namun begitu, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), masa bagi matapelajaran Matematik sudah berkurangan kepada 6 waktu yang bersamaan dengan 180 minit. Oleh itu, masa untuk pengajaran dan pembelajaran matematik tidak mencukupi ditambah pula dengan topik yang semakin bertambah. Oleh kerana kekangan masa, maka kemahiran berfikir yang cuba diterapkan di dalam soalan yang melibatkan penyelesaian masalah harian diabaikan. Terdapat guru berpendapat bahawa pengajaran kemahiran berfikir ini akan mengambil masa yang agak lama dan akan membebankan guru. Oleh sebab itu, mereka lebih menumpukan kemahiran berfikir itu hanya kepada pelajar pintar sahaja dan itupun di ajar secara sepintas lalu sahaja.

2.2 Penekanan Terhadap Penguasaan Fakta Dan Konsep

Guru berpendapat bahawa semua pelajar perlu mengetahui semua fakta dan konsep terlebih dahulu sebelum mereka digalakkan berfikir. Pelajar digalakkan menghafal fakta-fakta tanpa melibatkan perkembangan pemikiran mereka dengan lebih berkesan (Abd Rahim, 1999). Bagi memastikan pengajaran konsep dan fakta diberikan kepada pelajar sepenuhnya, maka pengajaran lebih mementingkan corak hafalan seperti menghafal sifir dan formula bagi mencari isipadu, perimeter, luas dan sebagainya dan kurang menekankan proses, teknik dan strategi berfikir yang berkesan. Guru juga di dapati tidak tahu bagaimana cara untuk meningkatkan daya pemikiran pelajar kerana bagi mereka memadai bagi pelajar untuk menguasai fakta dan konsep asas matematik.

2.3 Penekanan Pengajaran Matematik Kepada Peperiksaan.

Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh guru dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif adalah penekanan pengajaran matematik yang lebih menjurus kepada peperiksaan terutama sekali UPSR yang lebih mementingkan pengujian kebolehan pelajar mengingat kembali fakta. Ini adalah bagi menjaga prestasi sekolah dalam mata pelajaran matematik. Secara tidak langsung, ianya mendorong guru untuk memberi lebih banyak fakta dan mengutamakan penghafalan serta kurang menggalakkan supaya pelajar berfikir tentang fakta yang dipelajari. Sikap taksub kepada peperiksaan dan terlalu banyaknya peperiksaan seragam dalam sistem pendidikan kebangsaan menjadi faktor utama pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif tidak dapat dicapai secara maksimum. Ini menyebabkan pelajar tidak mempunyai masa mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi mereka.

Pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di sekolah bersifat reproduction iaitu mengeluarkan semula apa yang telah dipelajari tanpa menggalakkan pelajar berfikir (Wenning, 2002). Bentuk soalan peperiksaan yang terdapat di peringkat sekolah sekarang lebih menjurus kepada mengingat semula fakta dan formula yang telah dipelajari. Guru juga berpendapat bahawa mengajar pelajar menguasai maklumat untuk peperiksaan dan memperkembangkan daya pemikiran pelajar adalah dua matlamat yang berlainan dan bercanggah.

2.4 Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Berfikir Yang Kurang Berkesan.

Pengajaran dan pembelajaran yang kurang berkesan untuk meningkatkan kemahiran berfikir juga menjadi satu cabaran bagi guru matematik untuk melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif ini. Ini adalah kerana, mengajar kemahiran berfikir kepada pelajar sama ada kritis atau kreatif tanpa membantu mereka belajar cara menggunakannya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah adalah tidak mencukupi (Mohd Nashuha, 1997). Guru juga kurang pengetahuan dan berkebolehan untuk mengintegrasikan kemahiran berfikir dalam mata pelajaran matematik. Penggunaan cara pengajaran kemahiran berfikir kritis dan kreatif tidak di ambil berat oleh guru dan mereka tidak mempelbagaikan kaedah atau teknik menyampaikannya. Guru lebih yakin tentang kemahiran penyampaian pengajaran yang mereka miliki berbanding kemahiran pedagogi untuk mengajar kemahiran berfikir aras tingi (KBAT). Ada guru yang pernah menghadiri kursus untuk mengajar KBAT tidak bersedia dan mendapati sukar untuk mengajarnya terutama sekali bagi pelajar – pelajar yang lemah.

Pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru juga menjadikan pelajar tidak dapat menggunakan kemahiran berfikir kritis dan kreatif. Terdapat guru yang memberikan penerangan tentang tajuk yang di ajar tanpa memberikan peluang kepada mereka untuk menggunakan kemahiran berfikir ini. Walhal penekanan pengajaran berfikir kritis dan kreatif semasa proses pengajaran dan pembelajaran matematik merupakan faktor penting bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif ini.

3.0 Cadangan tindakan bagi menangani cabaran.

Berikut adalah empat cadangan tindakan yang boleh diambil oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif:

3.1 Penggunaan Masa secara Optimum.

Guru boleh menangani cabaran dengan menggunakan masa secara optimum dan sistematik di mana guru boleh mengajar berkenaan dengan soalan penyelesaian masalah dahulu sebelum mengajar fakta. Guru boleh menggunakan teknik penceritaan yang melibatkan situasi harian bagi membolehkan pelajar lebih memahami dan menggunakan pemikiran kritis dan kreatif bagi menyelesaikannya.

Guru juga boleh mengintegrasikan topik lain bagi mengatasi masalah masa yang tidak mencukupi. Contohnya dalam tajuk wang, jisim dan ukuran panjang yang terdapat dalam mata pelajaran matematik Tahun 2, boleh di ajar semasa tajuk penambahan nombor bulat serta boleh dikaitkan dalam soalan berbentuk penyelesaian masalah. Ini membolehkan guru mempunyai banyak masa untuk menerapkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif pelajar.

3.2 Galakkan Pelajar – Pelajar Membuat Penaakulan

Pemikiran penaakulan melibatkan proses deduktif dan induktif. Untuk menggalakkan penaakulan deduktif, konsep dan prinsip hendaklah benar-benar difahami oleh pelajar. Mereka perlu diberi galakan untuk memberikan contoh-contoh yang berkenaan . Galakan penaakulan induktif pula dapat dilakukan dengan memberi contoh-contoh khusus dan pelajar perlu berfikir untuk merumuskan generalisasi. Oleh itu, bagi menggalakkan mereka membuat penaakulan dan berfikir secara kritis dan kreatif, guru haruslah mengelakkan diri daripada memberi terlalu banyak penerangan. Guru hendaklah sentiasa memberi panduan kepada pelajar supaya mereka dapat menjawab soalan yang memerlukan mereka berfikir dengan kritis dan kreatif.

3.3 Ubah Soalan Peperiksaan.

Guru boleh mengubah sistem peperiksaan kepada beberapa cara penyelesaian masalah. Sebelum ini guru-guru membuat soalan yang berbentuk objektif. Ini memberikan peluang kepada pelajar terutamanya pelajar kelas hujung menjawab soalan tanpa membacanya. Mereka hanya menanda jawapan waima bagi soalan yang senangpun. Oleh itu, untuk mengelakkannya, guru boleh mencuba membuat soalan yang mempunyai pelbagai cara penyelesaiannya. Ini bermakna guru akan menerima apa sahaja jawapan murid sama ada dalam bentuk ayat matematik, bentuk lazim, dalam bentuk gambar atau cara yang murid fikirkan sesuai dan betul sebagai jawapan. Contohnya dalam penambahan nombor satu digit dengan satu digit bagi murid Tahun 1 iaitu cari jawapan 7 + 8, Mungkin terdapat murid membuat lidi yang mewakili 7 dan 8 sebagai jawapannya. Jadi, guru perlu menerima jawapan murid walaupun ianya tidak diterjemahkan dalam bentuk nombor.

3.4 Perancangan Rapi Sebelum Pengajaran dan Pembelajaran

Bagi pengajaran dan pembelajaran yang kurang berkesan untuk meningkatkan kemahiran berfikir terutama kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), guru-guru matematik yang mengajar KBAT perlu menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap sebelum mengaplikasikannya di dalam bilik darjah. Hanya guru yang betul-betul yakin sahaja mampu menyebatikannya di dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.


Oleh itu, kursus-kursus yang dikendalikan untuk menyediakan guru-guru mengajar KBAT perlu dirancang dengan teliti dan dikendalikan dengan cara yang profesional supaya kursus-kursus ini meninggalkan kesan positif dan berkesan di kalangan guru-guru. Satu daripada aspek yang perlu diberi perhatian dalam pengendalian kursus-kursus ini ialah perlu mengadakan sesi-sesi ’hands-on’ yang cukup bagi guru merancang, mencuba, menilai dan belajar bagi menyampaikannya semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas nanti.

Guru-guru juga perlu diberi sistem sokongan untuk melaksanakan KBAT di kelas nanti. Ianya meliputi aspek-aspek seperti bahan rujukan, bahan resos untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran serta wacana untuk guru-guru membincangkan isu-isu berkaitan dengan pembelajaran KBAT. Guru-guru juga perlu diberi kebebasan untuk membuat keputusan masing-masing berhubung pendekatan dan strategi yang mereka ingin gunakan dalam pengajaran mereka. Oleh itu, sekiranya kita ingin menghasilkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, maka kursus-kursus yang disampaikan secara berkesan dan memberi makna sangat perlu diadakan untuk memberi input-input penting kepada guru-guru bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran berfikir ini dijalankan secara berkesan.

Guru juga perlu menguasai teknik menyoal dengan betul. Teknik menyoal merupakan satu teknik yang biasa dan dominan. Kajian menunjukkan terdapat perhubungan positif yang signifikan antara penyoalan guru dengan pencapaian pelajar (Turney et.al, 1973). Bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, guru boleh memberikan satu situasi kepada mereka dan minta mereka menghuraikan dengan lanjut bagaimana jawapan itu diperolehi bagi memupuk kemahiran berfikir mereka.

Guru juga boleh membuat kajian bagaimana caranya untuk menerapkan kemahiran berfikir di kalangan pelajar. Selain daripada itu, guru juga perlu mengubah rancangan pengajaran harian (RPH) dengan menerapkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dan dalam masa yang sama ianya juga bertujuan untuk meningkatkan prestasi murid dalam matematik.

4.0 Kesimpulan.

Kemahiran berfikir telah lama diperkenalkan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan dikenali sebagai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Namun begitu pelaksanaannya masih belum mantap dan kurang diberikan penekanan terutama pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang sedang dipraktikkan dalam mata pelajaran Matematik bagi Tahap 2 sekolah rendah. Oleh itu, pendedahan yang berterusan dan sistematik diperlukan agar semua guru matematik dapat memperluaskan pelaksanaan kemahiran berfikir ini dalam pengajaran dan pembelajaran matematik seterusnya sehingga dapat melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif.

Penerapan kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran matematik ini amat penting selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan keperluan negara ke arah K-ekonomi. Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah juga, kemahiran berfikir adalah unsur utama yang diberikan penekanan. Untuk meningkatkan pemikiran pelajar yang analitis dan kreatif, penyelesaian masalah merupakan satu aspek penting yang perlu diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Penyelesaian masalah yang dikemukakan hendaklah bersesuaian dengan tahap pelajar. Di samping itu, guru perlu menggalakkan pelajar untuk berkomunikasi dan berani membuat keputusan. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran juga bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu belajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, kreatif, inovatif, berkomunikasi dan berinteraksi.

Guru matematik perlu mengambil tindakan dalam pengajaran matematik bagi melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif kerana ia merupakan salah satu elemen penting yang perlu dimiliki oleh para pelajar yang meliputi kebolehan berfikir secara kritis, kreatif, inovatif dan kebolehan mengaplikasikan pemahaman dan pengetahuan dalam pelbagai bidang yang diceburi nanti. Oleh itu, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif yang melampaui penguasaan kemahiran asas dan pengetahuan matematik perlu diterapkan dan dikembangkan dalam kurikulum matematik bagi melahirkan pelajar yang menepati kriteria Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4 ulasan:

  1. T.kasih cikgu Annis atas perkongsian maklumat. Syukran Jazilan.

    BalasPadam
  2. Thanks info cikgu. Guidelines utk kami as a parent jugak utk knowing details about Kbat

    BalasPadam
  3. Thanks info cikgu. Guidelines utk kami as a parent jugak utk knowing details about Kbat

    BalasPadam